KABUL: Pergerakan Taliban Afghanistan semalam mengemukakan rayuan kepada Dunia Islam supaya memberi sumbangan kepada mereka bagi membantu meneruskan perjuangan, suatu permintaan yang ditafsirkan penganalisis sebagai sebahagian perang media.
Rayuan itu yang turut mengandungi maklumat lengkap talian telefon dan alamat e-mel disiarkan menerusi laman web Taliban ditujukan kepada umat Islam di seluruh dunia supaya membantu mereka melaksanakan ‘jihad’ menentang penceroboh asing di negara Islam.
Pergerakan Taliban berkuasa di Afghanistan antara 1996 dan 2001 namun digulingkan dalam satu kempen ketenteraan diketuai Amerika Syarikat selepas enggan menyerahkan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, dikehendaki Washington sebagai dalang serangan 11 September 2001 (9/11) di New York dan Pennsylvania.
Sejak disingkirkan pemerintahan, saki baki militia itu melancarkan pemberontakan.
“Mengikut syariah, semua orang Islam berkewajipan menyertai jihad sama ada dengan wang atau jiwa,” kata kumpulan itu.
“Anggota Taliban masih melancarkan jihad bersendirian dengan bantuan orang perseorangan yang amat mencintai Islam dan memerlukan bantuan kewangan daripada saudara seagama di seluruh dunia untuk perbelanjaan ketenteraan dan bukan tentera,” tambahnya.
Rayuan itu jelas sebahagian kempen media pemberontak, tindakan yang bertujuan menunjukkan kempen mereka disokong oleh ramai orang, kata penganalisis, Abdul Waheed Wafa.
“Saya fikir ia adalah sebahagian propaganda perang Taliban.” kata Wafa, pengarah Pusat Afghanistan, sebuah badan penyelidikan di Universiti Kabul.
“Mereka cuba menunjukkan jihad mereka disokong dan dana mereka datangnya daripada sumber berkenaan,” tambah Wafa.
Menurut perisikan Barat dan Afghanistan, kebanyakan dana Taliban dijana daripada pengeluaran candu berbilion dolar, bahan mentah membuat heroin. Afghanistan menghasilkan lebih 90 peratus candu dunia.

























