Ad 240x90

PILIHAN TERTINGGI



Semai sikap hormat-menghormati

Pelajari menerusi pendidikan, teladan
HORMAT. Perkataan itu saja jelas kedengaran manis, apatah lagi bila diserlahkan menerusi tindakan dan tingkah laku.

Kita biasa mendengar orang dewasa menyuruh kanak-kanak kecil menghormati orang yang lebih tua. Tetapi adakah kita mengetahui menyuburkan rasa hormat dalam diri anak kecil hingga ia mampu sebati dan mengalir ke setiap sudut pemikirannya memerlukan usaha serta didikan?

Wakil Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ke Malaysia, Hans Olsen, berkata hak kanak-kanak bermaksud kanak-kanak sendiri harus belajar menghormati hak sesama sendiri.

Jelasnya, pendapat dan tindakan kanak-kanak dipengaruhi oleh cara orang dewasa dan rakan di sekeliling mereka berfikir, bertindak dan bercakap.

“Sikap prasangka umpamanya, ia dipelajari daripada cara hidup dan dengan memerhatikannya berlaku di dalam masyarakat. Malah, seorang kanak-kanak yang sedang membesar, boleh mempercayai bahawa ini adalah suatu cara hidup jika tidak ada orang dewasa ‘menghentikan’ sikap prasangka itu.

“Justeru, kita perlu meningkatkan kesedaran mengenai hak kanak-kanak untuk membesar dalam kehidupan tanpa prasangka kerana ia bukan saja salah dari segi moral malah boleh mencetuskan pelbagai perkara negatif lain, termasuk buli yang boleh meracun zaman riang seorang kanak-kanak,” katanya.
Sempena Hari Kanak-Kanak Antarabangsa, UNICEF melancarkan kempen Semaikan Sikap Hormat-Menghormati, yang menyeru ibu bapa, guru dan semua orang dewasa mendidik kanak-kanak supaya menghormati sesama sendiri, melalui pendidikan dan paling utama menerusi teladan.

Dua Pesanan Khidmat Masyarakat 30 saat boleh disaksikan di www.unicef.my. memaparkan lakaran, bagaimana kanak-kanak mungkin mengamalkan diskriminasi sesama sendiri, sebagai contoh melalui panggilan nama dan ajukan sebagai panduan.

Diraikan secara rasmi pada 20 November 1989, Hari Kanak-kanak Antarabangsa adalah simbol hari, Perhimpunan Umum Bangsa-Bangsa Bersatu menerima Deklarasi Hak Kanak-Kanak pada 1959 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak pada 1989.

Hari Kanak-Kanak Antarabangsa adalah hari yang mana kesejahteraan kanak-kanak diraikan. Ia meletakkan inisiatif dan kempen yang dijalankan masyarakat pada tempat yang betul dalam meningkatkan kesedaran mengenai situasi dalam kehidupan, masalah, impian dan keperluan yang juga membolehkan pertukaran pendapat dan fikiran serta pertemuan antara mereka.

Kempen itu amat perlu dan tepat pada masanya. Ini kerana Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu Hak Kanak-Kanak, setakat ini mengenal pasti lebih daripada 50 punca diskriminasi terhadap kanak-kanak berdasarkan identiti mereka atau identiti ibu bapa mereka berlaku.

Ia termasuk diskriminasi berdasarkan jantina, bangsa, kerakyatan, latar belakang keluarga dan punca pendapatan, keupayaan dan status HIV.

Apatah lagi, hak untuk tidak didiskriminasi adalah prinsip dalam hak asasi manusia dalam undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), yang diperakui dan ditandatangani Malaysia pada 1995.

Artikel 29 (d) CRC menyatakan pendidikan harus menyediakan kanak-kanak ke arah kehidupan yang bertanggungjawab dalam masyarakat yang bebas, dengan semangat memahami, keamanan, tolak ansur, kesamarataan gender dan persahabatan antara semua orang, etnik, bangsa, etnik dan agama.

“CRC bukan saja mengandungi hak kanak-kanak secara terperinci, tetapi juga tanggungjawab ke atas hak berkenaan untuk menghormati hak manusia dan kebebasan orang lain.

“Ia adalah tanggungjawab orang dewasa dan masyarakat dalam memastikan kanak-kanak mengembangkan sikap positif, mengelakkan daripada menggunakan kuasa mereka untuk membuli, sekali gus menindas atau mendiskriminasi orang lain pula.

“Ibu bapa, guru dan orang dewasa adalah model contoh dalam memastikan kanak-kanak faham bahawa prasangka serta diskriminasi. Itu adalah satu keadaan yang tidak adil. Orang dewasa perlu menggalakkan kanak-kanak mencipta perubahan dengan memberi contoh bagaimana untuk bertindak sebagai pemerhati dan juga mangsa.

“Dengan mempromosikan hubungan sesama insan yang penuh dengan sikap hormat-menghormati, kita mampu mencegah prasangka serta diskriminasi. Pada masa sama menyokong kanak-kanak dalam mengembangkan kemahiran bersosial, pemahaman dan penerimaan, tanggungjawab sosial dan kerakyatan,” katanya.

INFO

MENGGALAKKAN kanak-kanak menjadi ejen perubahan dengan memberikan kuasa kepada mereka untuk berdiri menentang prejudis dan diskriminasi. Apabila kanak-kanak tahu bagaimana untuk bertindak balas terhadap sikap negatif dan tingkah laku, ia membantu dalam membina masyarakat harmoni.

Tanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak daripada segala bentuk diskriminasi, prejudis dan penyalahgunaan, termasuk prasangka dan diskriminasi adalah tanggungjawab ibu bapa, guru dan orang dewasa lain dalam masyarakat. Bagaimana mengajar mereka erti hormat? Ikuti panduan di bawahj:

Jadi contoh kepada anak-anak

  • Ibu bapa menjadi contoh nilai murni dalam diri kanak-kanak. Tabiat ibu bapa menjadi pengaruh paling kuat, membentuk tingkah laku dan personaliti mereka. Kelakuan buruk ibu bapa boleh menjadi contoh buruk kepada anak-anak mereka.

    Pupuk empati

  • Empati adalah gerakan hati kanak-kanak untuk bertolak ansur, berkasih sayang, memahami keperluan orang lain serta membantu insan lain yang ditimpa masalah.
  • Semua kanak-kanak dilahirkan dengan keupayaan ini tetapi ia perlu dipupuk dan disuburkan. Kanak-kanak memerlukan hubungan positif dan penyayang dengan ibu bapa atau penjaga untuk mereka mengambil berat berhubung dengan orang lain. Kanak-kanak yang mempunyai harga diri yang baik serta mengenali diri mereka sendiri, dapat bertindak secara berkesan terhadap perasaan orang lain.
  • Jelaskan mengenai erti perasaan orang lain. Ajar kanak-kanak bahawa mereka tidak boleh diketepikan atas apa-apa alasan termasuk bangsa, agama, kelas sosial, jantina atau rupa.

    Didik tingkah laku hormat-menghormati

  • Menggalakkan kanak-kanak menghormati diri sendiri dan orang lain akan membantu menghapuskan ketidakadilan, kebencian serta keganasan. Ia perlu bermula dari rumah. Mulakan dengan membantu kanak-kanak berasa baik mengenai diri mereka sendiri, memuji apabila mereka melakukan sesuatu dengan baik atau apabila mereka melakukan sesuatu yang bertimbang rasa terhadap orang lain. Biarkan mereka tahu bahawa tingkah laku penyayang itu mereka membuat anda berasa bangga.
  • Kadangkala kanak-kanak tidak sedar mengenai tutur katanya yang kesat. Ibu bapa jangan cepat menggelabah, sebaliknya membantu mereka memahami bahawa perbuatannya itu bukan saja tidak sopan, sebaliknya boleh menyinggung perasaan orang lain dan bagaimana ia akan menyumbang kepada prejudis, diskriminasi dan kebencian dalam masyarakat. Membantu kanak-kanak memahami manfaat tingkah laku yang baik. Dengan menggalakkan kemahiran bahasa yang baik, dapat membina sahsiah diri selain membantu mencegah masalah kemudian hari.

    Galak anak jadi ejen perubahan

  • Galakkan kanak-kanak menjadi ejen perubahan dengan memberikan kuasa kepada mereka untuk berdiri menentang prasangka diskriminasi. Apabila kanak-kanak tahu bagaimana untuk bertindak balas terhadap sikap negatif, ia tahu bagaimana untuk mempromosi rasa hormat dalam komuniti.

    Sebagai contoh, mereka boleh bertindak balas kepada kanak-kanak lain yang dipanggil nama melukakan hati dengan hanya berkata, “Jangan memanggil dia dengan panggilan itu”. Atau apabila dia melihat kanak-kanak lain yang menjadi mangsa, dia boleh berkata “Jangan panggil saya dengan nama itu sebab awak pun tentu tidak suka kalau saya panggil awak dengan panggilan seperti itu,”

  • Memberi motivasi kepada kanak-kanak untuk mengambil tanggungjawab dalam mengeluarkan kata-kata dan tindakan. Dengan bercakap dengan kanak-kanak, kita boleh memberi mereka alat untuk memproses dan menapis apa yang mereka alami apabila orang dewasa tidak berada di sekelilingnya.

Apa komen anda? [Facebook Comments]

Leave a comment

Switch to our mobile site