Ad 240x90

PILIHAN TERTINGGI



Scha & Awal Pilih New York Sebagai Destinasi Bulan Madu

“ Kami akan berbulan madu ke New York, Amerika Syarikat. Permohonan visa kami telah pun diluluskan pada dua  hari lalu. Jadi, selepas majlis resepsi nanti, kami akan bertolak ke New York. Kami akan habiskan masa kira-kira 10 hari di sana,” ujar Scha teruja.

Ditanya mengapa memilih kota metropolitan itu, Scha memberitahu dia sukakan  suasana  kota yang hiruk-pikuk.

“Mungkin kerana saya membesar di bandar, jadi saya memang suka dengan gaya hidup kota yang sentiasa bergerak pantas. Saya suka berada di tengah-tengah kesibukan itu. Awal juga ingin ke sana,” ulas Scha lagi.

Dalam masa yang sama, Scha turut mengakui  yang dia dan Awal sudah bersedia untuk menghadapi cabaran sebagai pasangan suami-isteri. Ini kerana mereka sedar bukan mudah untuk mempertahankan sebuah perkahwinan jika tidak ada sebarang persiapan.

“Pasangan selebriti ini sering menjadi tumpuan ramai apabila mendirikan perkahwinan. Malah, ramai juga yang mengganggap perkahwinan golongan artis ini tidak mampu bertahan lama. Saya punya pendapat sendiri tentang perkara ini. Saya jadikan beberapa pasangan selebriti sebagai contoh dan saya percaya persefahaman adalah kunci kebahagiaan mereka.

Sebelum berkahwin, saya juga sudah pun berbincang dengan Awal yang kami tidak boleh buat perubahan secara drastik. Memang tanggungjawab suami-isteri ini berat, tetapi saya dan Awal perlu sesuaikan diri secara perlahan-lahan. Paling penting, kena belajar mengenali hati-budi masing-masing dan juga keluarga. Maklumlah, personaliti kami cukup berbeza,” ujar Scha.

Sementara itu, Awal turut bersetuju dengan pendapat Scha itu. Jelas Awal, dia sebenarnya berasa teruja dengan penyatuan itu. Selain mempunyai personaliti berbeza, mereka juga datang daripada dua buah keluarga yang berbeza latar belakang.

“Scha membesar dalam sebuah keluarga yang berasal dari bandar iaitu di Hartamas, manakala saya pula berasal daripada keluarga yang agak tradisional. Emak saya mungkin  tidak boleh memasak menu yang disediakan oleh emak Scha. Begitu juga dengan emak Scha. Situasi ini menjadi menarik kerana kami boleh buat pilihan. Kalau mahu gaya moden, kami akan pulang ke rumah keluarga Scha, kalau mahu suasana tradisional, bolehlah ke rumah keluarga saya,” ujar Awal berterus-terang.

Menyentuh tentang perancangan anak, pasangan ini memberitahu mereka tidak punya halangan untuk menimang cahaya mata dalam waktu terdekat.

“Saya punya sembilan adik-beradik, tapi saya tidak merancang untuk punya sebuah keluarga yang besar sebegitu. Rasanya, cukuplah sekadar dua atau tiga orang untuk menceriakan rumah kami,” ujar Awal.

gua.com.my

Apa komen anda? [Facebook Comments]

Leave a comment

Switch to our mobile site