SINGAPURA: Majikan seorang pembantu rumah asing yang jatuh dari tingkat lima sebuah rumah pangsa dan menemui ajal, dikenakan denda maksimum S$5,000 (RM12,210).
Gan Hui Leung, 46, mengaku bersalah semalam atas satu dakwaan gagal memastikan pembantu rumah berkenaan, Siti Ustima, melakukan tugasnya dalam keadaan selamat.
Dokumen mahkamah menunjukkan Siti bekerja untuk Gan mulai April 2010 hingga November tahun lalu.
Di bawah seliaan Gan, satu daripada tugas mangsa adalah membersihkan tingkap ruang tamu rumah pangsa Clementi, terletak di tingkat lima.
Walaupun defendan melihat pembantu rumah Indonesia itu membersihkan tingkap sambil berdiri di atas bangku dengan jeriji dan tingkap terbuka, Gan tidak pernah mengajar amahnya itu cara selamat melakukan tugas .
Pada 11 November tahun lalu pada jam 1 tengah hari, Siti dilihat membersihkan tingkap ruang tamu sambil berdiri di atas kerusi.
Sejurus selepas itu, kedengaran bunyi bising dan dia didapati terbaring di kaki lima rumah pangsa itu. Siti mengalami pelbagai kecederaan akibat terjatuh dan menemui ajal.
Atas kegagalannya memastikan pembantu rumahnya bekerja dalam keadaan tidak membahayakan nyawa, Gan boleh dipenjarakan sehingga enam bulan, didenda S$5,000 atau kedua-duanya.
Dalam hujahnya, pendakwa raya menggesa hakim daerah mengenakan denda maksimum atau menghantar satu mesej penghalang kepada majikan pembantu rumah asing.
Antara Januari dan April lalu, seramai lapan pembantu rumah asing jatuh dan maut ketika melakukan tugas seumpanya.
Daripada jumlah itu, lima berpunca daripada insiden membersihkan tingkap.
Namun, peguam Gan berkata, anak guamnya tidak memberi arahan khusus kepada Siti supaya turut membersihkan bahagian luar tingkap kediaman itu.























