CHERAS: Seorang pemilik kedai runcit bukan Islam hanya mampu memohon maaf berkali-kali kepada sepasukan penguat kuasa Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menyerbu premisnya di Taman Bukit Anggerik, di sini, selepas pemeriksaan mendapati dia menempatkan produk makanan berlogo halal dengan daging babi dalam satu bilik sejuk beku, semalam.
Penolong Pengarah Kanan bahagian itu, Mohd Amri Abdullah berkata, pemilik kedai runcit berusia 40-an itu mulanya terkejut dengan serbuan pihaknya hasil aduan awam kira-kira jam 3.30 petang sebelum memohon maaf dengan memberi alasan mudah apabila memberitahu tidak tahu ia satu kesalahan mengikut hukum Islam.
Menurutnya, pemeriksaan di bilik beku di tingkat dua kedai runcit itu mendapati makanan berasaskan daging babi iaitu bebola babi diletakkan bercampur aduk dengan makanan halal seperti popia mini, bebola ikan dan kek ikan yang ada kelulusan halal daripada Jakim sebelum dijual di premis turut dikunjungi umat Islam.
“Serbuan dilakukan selepas beberapa pengguna berasa was-was dengan tindakan pemilik kedai runcit ini dilaporkan menyimpan produk makanan halal dan haram dalam bilik sejuk sama dan meminta Jakim menyiasat.
“Kebimbangan pengguna itu ternyata berasas apabila pemeriksaan dalam bilik beku di premis itu menemui makanan halal dicampur produk berasas daging babi,” katanya.
Katanya, percampuran produk halal dengan daging babi terbabit boleh menimbulkan syubahah (keraguan) dari segi hukum syarak dan tindakan pemilik itu menyalahi peraturan dan garis panduan yang tertakluk dalam syarat pemberian sijil pengesahan halal daripada Jakim.
“Susulan itu, kami merampas beberapa peket bebola babi bagi dijadikan sampel bukti untuk tindakan lanjut mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
“Jika sabit kesalahan memperdaya, mengelirukan, pertubuhan atau perbadanan ingkar boleh didenda RM5 juta, manakala RM10 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya,” katanya.



























incIk adMin… tlg kasi nama kedai apa.. senang pasni x pergi kedai tu~ nyatakan dimana..ngri mana.. area mana… kalO incIk admin org islam.. incik adMin tentu tahu kita org islam wajib bantu sesama islam ~ halal haram satu perkara yg penting~
Kami tidak tahu dimana kerana artikel ini dipetik dari berita