Ad 240x90

PILIHAN TERTINGGI



Kembalikan ‘sentuhan emas’

BEKAS jaguh Korea Selatan, Yoo Yong-sung optimis mampu mengembalikan semula ‘sentuhan emas’ beregu utama lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Yong-sung berkata, fokus utamanya ketika ini adalah mencari formula terbaik bagi mempersiapkan Kien Keat-Boon Heong yang menjadi pertaruhan memburu pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.

Meskipun berbaki sembilan bulan sahaja lagi sebelum Olimpik 2012 berlangsung, Yong- sung menganggap tempoh tersebut sudah cukup untuk meletakkan beregu utama negara itu berada pada tahap prestasi terbaik mereka.

“Sembilan bulan adalah satu tempoh yang panjang. Saya akan gunakan segala pengalaman yang saya miliki untuk membimbing mereka menjelang Olimpik,” kata Yong-sung selepas mengendalikan sesi latihan pertamanya bersama skuad badminton negara di Stadium Bukit Kiara semalam.

Bagaimanapun, Yong-sung berkata, dia memerlukan sedikit masa untuk mengetahui corak permainan sebenar beregu negara itu.

“Saya perlu tahu terlebih dahulu apa kelebihan yang ada pada Kien Keat-Boon Heong dan juga kelemahan dalam corak permainan mereka.

“Sebelum ini, saya tidak mengikuti sangat perkembangan mereka. Jadi apa yang saya akan lakukan adalah melihat kembali rakaman video perlawanan mereka dan daripada situ nanti saya dapat idea bagaimana cara untuk membantu mereka.

“Saya tidak boleh membuat keputusan untuk mengubah corak permainan mereka terburu-buru tanpa mengetahui lebih lanjut apa yang sebenarnya kekurangan yang mereka perlu atasi,” jelas Yong-sung.

Isnin lalu, dia yang berjaya meraih pingat perak pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney dan Olimpik 2004 di Athens, telah menandatangani kontrak dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai jurulatih baharu beregu lelaki negara.

Yong-sung, 37, diberi tanggungjawab membantu Pang Cheh Chang menggilap kembali sentuhan Kien Keat-Boon Heong yang sebelum ini sering kali bergelut dengan prestasi ‘ala yo-yo’ sehingga menyebabkan mereka gagal melakar keputusan cemerlang di pentas antarabangsa.

Lebih malang, beregu negara itu juga masih gagal membuang ‘badi’ ke atas dua pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Song dan Jung Jae Sung-Lee Yong Dae apabila rekod kemenangan tidak memihak kepada mereka dalam pertemuan sebelum ini.

Ditanya bagaimana caranya dia mahu mengelakkan nasib malang itu terus berlanjutan, Yong-sung menjawab: “Saya pernah menjadi jurulatih skuad badminton Korea Selatan selama tiga tahun.

“Malah, saya juga pernah melatih Yong Dae pada tahun 2005. Mungkin daripada pengalaman itu saya boleh berkongsi dengan Kien Keat-Boon Heong mengenai corak permainan beregu Korea Selatan,” ujarnya.


Apa komen anda? [Facebook Comments]

Leave a comment

Switch to our mobile site