Ikan laga penghilang stres

KEPENATAN boleh menyebabkan seseorang itu berdepan tekanan emosi sehingga menjejaskan kehidupan seharian. Selain yang bekerja, golongan suri rumah, pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi berisiko tinggi mengalami masalah ini akibat kesibukan menguruskan rumah tangga atau mengikuti jadual pembelajaran ketat.

Justeru, setiap individu digalakkan meluangkan sedikit masa untuk diri sendiri dengan melakukan perkara yang boleh memberi ketenangan kepada diri selagi tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap kerja dan keluarga.

Bagi Samsuddin Awang, 37, memelihara dan mengumpul ikan laga menjadi caranya menghilangkan stres kerana ia memberi kepuasan, ketenangan dan keseronokan.

“Sebaik pulang selepas seharian bekerja, perkara pertama saya lakukan ialah melihat koleksi ikan laga. Setiap satunya mempunyai keunikan berbeza melalui cara pergerakan dan variasi warna pada badan serta ekornya yang mempesonakan.

“Kepenatan bekerja seharian seperti hilang apabila melihatnya. Saya memilih membela ikan laga berbanding spesies ikan lain kerana ia memiliki daya tarikan tersendiri,” katanya.

Samsuddin yang memiliki lebih 50 ekor ikan laga berkata, minat sejak kecilnya itu kini turut dikongsi bersama dua rakan baik yang juga jirannya, Amran Soid, 46, dan Abdul Rashid Jaafar, 38.

Katanya, bagi menghidupkan kembali hobi tradisional ini, mereka bertiga sepakat menubuhkan kelab peminat ikan laga pada pertengahan tahun lalu dan kini mempunyai koleksi lebih 150 ekor ikan laga.

“Kami akan mengumpul semua ikan laga di wakaf dibina di depan kawasan perumahan setiap hujung minggu dan berjaya menarik minat generasi muda khasnya mengenali hobi tradisional, sekali gus mengelak ia pupus ditelan zaman.

“Selain membeli, sebahagian daripada koleksi ikan laga kami cari sendiri ketika pulang bercuti di kampung masing-masing di Beruas dan Kampar di Perak serta di Kelantan,” katanya.

Menurutnya, minat membela ikan laga kini makin mendapat sambutan, terutama di kalangan masyarakat Cina, sehingga ada yang sanggup datang dari jauh, termasuk Pulau Pinang, semata-mata untuk membeli beberapa koleksi ikan laga milik mereka.

Bagaimanapun, Samsuddin berkata, mereka tidak menjualnya biarpun ditawarkan harga hingga mencecah ratusan ringgit kerana setiap ekor ikan ada keunikan berbeza.

www.hmetro.com.my

Page 1 of 2 | Next page