Ad 240x90

PILIHAN TERTINGGI



Gencatan senjata Gaza bermula

REMAJA Palestin melihat keadaan sebuah kediaman yang musnah akibat serangan udara Israel di timur kem pelarian Jabaliya, Gaza.

GAZA: Israel dan kumpulan Jihad Islam dengan Mesir sebagai pengantara, bersetuju memulakan gencatan senjata mulai semalam selepas 26 penduduk Gaza terbunuh dan lebih 80 cedera dalam serangan udara rejim Zionis yang bertindak balas atas serangan pejuang Palestin sejak empat hari lalu.

Menurut perjanjian itu yang berkuat kuasa pada jam 1 pagi waktu tempatan, Israel dan Jihad Islam yang melancarkan roket ke selatan Israel, bersetuju menghentikan serangan, kata pegawai Mesir.

Kedua-dua pihak mengesahkan perjanjian itu diikuti, walaupun segera memberi amaran ia tidak berpanjangan jika mana-mana pihak melanggar persetujuan.

“Ada persefahaman dan kami mengikut apa yang di lapangan. Keadaan semakin tenang dan peperangan dihentikan,” kata Menteri Pertahanan Dalam Negeri, Matan Vilnai kepada radio awam Israel.

Di Gaza, jurucakap Jihad Islam berkata, kumpulan itu sedia menghormati perjanjian jika rejim Zionis menghentikan tindakannya menyasarkan anggotanya.

“Kami terima gencatan senjata jika Israel menghentikan serangan dan pembunuhan,” kata Daud Shihab.

Berita perjanjian itu diumum selepas Mesir menjadi orang tengah dalam apa yang disifatkan pegawai perisikan negara itu sebagai gencatan senjata menyeluruh.
“Perjanjian menamatkan operasi antara kedua-dua pihak, termasuk menghentikan pembunuhan, memasuki fasa kuat kuasa pada jam 1.00 pagi waktu tempatan,” katanya sambil menegaskan perjanjian itu dicapai selepas Mesir mengadakan hubungan intensif dengan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, Vilnai menafikan ada perjanjian untuk menamatkan kempen membunuh yang dilancarkan tentera rejim Zionis.

“Sesiapa yang terbabit dalam keganasan menentang Israel perlu tahu mereka dalam perhatian kami,” katanya ketika memberi amaran.

Tiada kenyataan dikeluarkan oleh Hamas, pentadbir Gaza yang meminta bantuan Kaherah untuk mengembalikan keamanan.

Sejak perjanjian berkuat kuasa, bilangan roket yang ditembak ke Israel berkurangan mendadak, dengan polis melaporkan cuma dua mendarat di kawasan selatan tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kerosakan.

Pengumuman dibuat selepas empat hari ketegangan bermula Jumaat lalu dengan pembunuhan ketua Jawatankuasa Penentangan Popular (PRC), Zuhair Qaisi, oleh Israel. Ia menyebabkan pejuang membedil lebih 200 roket dan mortar ke selatan Israel, mencederakan lapan warga Yahudi dan memaksa pihak berkuasa menutup sekolah dalam jarak sasaran bedilan roket dari Gaza.

Tentera Israel kemudian melancarkan berpuluh-puluh serangan udara menyasarkan pejuang dan kemudahan senjata.

Sekalipun begitu, penduduk Israel pula dilaporkan tidak bersetuju jika pihak tentera melancarkan kempen ketenteraan lebih lama seperti pada 2008 dan 2009 apabila 1,400 penduduk Palestin dan 13 warga Yahudi terbunuh.

Gaza dihuni 1.7 juta penduduk Palestin dan dijajah Israel mulai 1967 hingga 2005 apabila askarnya berundur meskipun wilayah itu terus dikenakan sekatan rejim Zionis itu.

www.bharian.com.my

Apa komen anda? [Facebook Comments]

Leave a comment

Switch to our mobile site