Ad 240x90

PILIHAN TERTINGGI



Fasha Sanggup Makan Kuih Dari Tong Sampah

Dek kerana terlalu lapar, pelakon jelita Fasha Sandha sanggup mengutip kuih di dalam tong sampah untuk dimakan. Malah, dia juga sanggup mengutip kuih yang terjatuh di lantai untuk mengalas perut. Insiden ini bukan sekadar gosip, tetapi realiti. Cuma ia tidak berlaku dalam kehidupan sebenar Fasha. Sebaliknya, adegan yang dilakonkan dalam drama bersiri terbaru ‘Seindah Sakura’ yang akan bersiaran di TV3 bermula 7 Mei hadapan, jam 7.00 malam.

Pasti ada yang masih tidak percaya dengan tindakan Fasha itu bukan? Maklumlah, penonton boleh tertipu dengan teknik kamera yang betul.  Lagipun, macam tidak logik pula Fasha sanggup menjamah kuih yang berada di dalam tong sampah dan di atas lantai yang kotor. Jom! Ikuti penjelasan Fasha.

“Sebenarnya En. Zul (Zulhuzaimy) tidak pernah menyuruh saya makan kuih yang dikutip dalam tong sampah dan di atas lantai itu. Dia hanya minta saya gigit sedikit. Tapi, saya rasa kalau buat macam itu, nampak macam tidak semulajadi. Sebab itu saya terus makan sehingga habis. Memanglah kotor, tetapi saya tidak kisah asalkan adegan itu boleh memberi impak kepada lakonan saya. Saya mahu penonton puas hati,” ujar Fasha yang menggalas watak Shakira.

Mengulas tentang gandingannya bersama pelakon kacak, Fahrin Ahmad, pengantin baru ini menjelaskan walaupun ini kali pertama mereka berkerjasama dalam drama bersiri, tetapi mereka cepat menyesuaikan diri.

“Saya pernah digandingkan dengan Fahrin dalam telemovie, jadi kami sudah tidak kekok apabila berlakon bersama. Saya seronok berlakon dengan Fahrin sebab dia seorang yang berdedikasi dan berdisiplin. Setiap kali sebelum memulakan penggambaran, kami akan berbincang terlebih dahulu untuk pastikan tidak berlaku kesilapan. Fahrin juga berfikiran terbuka dan boleh menerima pendapat orang lain,” ulas Fasha.

Sementara itu, pengarah drama ini, Zulhuzaimy turut memuji lakonan Fasha. Baginya, Fasha bijak mencuri perhatian penonton.

“Saya melihat Fasha sebagai seorang pelakon yang pandai ‘berhutang’ dengan penonton. Maksudnya, dia bijak memancing perhatian penonton supaya ternanti-nanti penampilannya di kaca televisyen. Fasha tidak lepaskan kemampuan lakonannya dengan begitu mudah. Dia lepaskan sikit-sikit. Saya rasa itu kekuatan Fasha berbanding pelakon-pelakon wanita lain. Secara jujurnya, saya berpuas hati dengan lakonan Fasha dan juga pelakon-pelakon lain. Masing-masing tahu menghidupkan watak yang diberi,” ulas Zul pula.

‘Seindah Sakura’ adalah drama 24 episod yang diadaptasi daripada novel yang ditulis oleh Liza Zahira. Ia mengisahkan kehidupan seorang gadis bernama Shakira yang ditinggalkan ibu sejak dari kecil. Shakira terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan dugaan bersama moyangnya.  Naskah drama yang ditulis oleh Wan Mahani ini turut dibintangi oleh Wan Sharmila, Mak Mah, Dato; Eizlan Yusof dan Fimie Don.

Gua.com.my

Apa komen anda? [Facebook Comments]

Leave a comment

Switch to our mobile site