Adab Makan dan Minum Mengikut Sunnah Nabi SAW.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai pembawa rahmat (kebaikan) kepada sekalian alam. Nabi s.a.w banyak mengajarkan kita tentang cara hidup seharian yang bersendikan kepada ‘aqidah dan ibadah’, sejak kita mula bangun pagi, masuk tandas, makan dan minum, memakai pakaian, menaiki kenderaan, mula bekerja, pulang kerumah, berehat dan tidur.
Sukatan makan dan minum yang menjadi panduan hidup orang Mukmin adalah berdasarkan sabda Nabi SAW yang maksudnya : “Adalah kami para Nabi, kami tidaklah hidup kenyang.”
Nabi SAW tidak makan sebelum baginda merasa lapar dan lebih dahulu berhenti sebelum sampai ke tahap kenyang atau merasa puas.
Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat beberapa adab-adab makan dan minum cara Nabi SAW untuk menjadi panduan kita semua untuk mendapat keberkatan di sisi Allah s.w.t dengan mengikut sunnah baginda.
Pertama : Membasuh tangan sebelum makan.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Keberkatan makanan itu ialah membasuh (tangan) sebelumnya (sebelum makan) dan membasuh selepasnya.”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Turmudzi).
Dari Sayyidah Aisyah r. ‘anha bahawa Rasulullah SAW apabila berjunub, maka baginda berwudhu’ (seperti wudhu’) untuk solat dan apabila baginda ingin makan baginda membasuh kedua tangannya (lebih dahulu).
Kedua : Membaca Bismillaah. (Bismillahirahmanirrahim)
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca Bismillaah) di kala masuk dan di kala makan, maka berkata syaitan : “Tiadalah peluang aku bermalam dengan kamu dan tiadalah pada makanan malam kamu.” Dan apabila seorang masuk ke rumahnya , maka dia tidak menyebut Allah di kala memasukinya, maka berkata syaitan : “Aku akan bermalam dengan kamu.”
Seterusnya apabila dia tidak menyebut Allah di kala makan, maka syaitan akan berkata : “Aku akan dapat bermalam dan makan malam (bersama kamu; kongsi makan)”
(Hadis Riwayat Muslim)
Nabi SAW telah bersabda kepada seorang kanak-kanak yang makan di samping baginda maksudnya : “Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah..”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketiga : Membaca doa makan.
Sabda Nabi SAW, yang maksudnya :
“Allaahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna’adzaabannar. maksudnya : Ya Allah, berkahilah rezeki yang Engkau rezekikan kepada kami, dan peliharalah kami dari siksa Neraka.” (Hadis Riwayat Ibnu As-Sunni)
Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah satu doa yang diajar oleh Nabi SAW. bila hendak makan: ‘Allahumma barik lana fihi wa ath ighmna khairan minhu’, maksudnya: ”Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada makanan ini dan kurniakanlah kepada kami makanan yang lebih baik daripadanya.”
Keempat : Makan dan minum dengan tangan kanan.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Apabila salah seorang di antara kamu makan, hendaklah dia makan dengan menggunakan tangan kanannya dan apabila dia minum hendaklah dia minum dengan menggunakan tangan kanannya kerana sesungguhnya syaitan itu, dia makan dengan menggunakan tangan kirinya dan minum juga dengan menggunakan tangan kirinya.”
(Hadis Riwayat Muslim).
Page 1 of 3 | Next page
