KLUANG: Dua bekas tentera yang terputus kaki akibat terpijak jerangkap samar yang dipasang pengganas komunis ketika darurat dulu, mahu bersemuka dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, bagi menunjukkan kesan ‘sejarah’ keganasan tinggalan pengganas itu.
Abdul Samad Md Saman, 59, dan Mat Tahir Hassan, 61, masing-masing kehilangan kaki kiri dari paras paha akibat terpijak jerangkap samar yang dipasang komunis ketika mempertahankan negara daripada ancaman pengganas berkenaan.
Abdul Samad berkata, mungkin Mohamad Sabu akan berubah fikiran apabila melihat sendiri kecederaan kekal yang terpaksa ditanggung mereka.
“Mohamad (Mat Sabu) tidak rasa peritnya tulang kaki ini berkecai dan berselerak di depan mata sendiri… kalau dia rasa sendiri tentu tidak akan berani buat kenyataan yang melukakan hati kami begini.
“Saya nak jumpa dia (Mat Sabu)… nak kumpul semua tentera yang kudung kaki dan cacat seumur hidup, biar dia tengok sendiri depan mata penderitaan kami tanggung atas nama memperjuangkan tanah air, ” katanya ketika ditemui selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri Markas 7 Briged dan penyerahan sumbangan kepada 65 veteran tentera yang mengalami kecederaan atau kecacatan kekal ketika bertugas.
Sementara itu, Mat Tahir berkata, Mat Sabu tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan dan pendapat sebegitu atas alasan apa pun.
“Sampai hati betul… sudahlah beliau tidak minta maaf atas kenyataannya itu malah cuba berlagak seperti beliaulah hero dengan kebodohan beliau … saya tidak akan maafkan beliau kerana menafikan sumbangan kami kepada negara ini,” katanya.


























